PELANCONGANSELANGOR

SIIAF 2018 tumpuan pelawat nikmati persembahan orang Asal

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 MEI: Festival Seni Adat Antarabangsa Selangor (SIIAF) 2018 di Taman Botani Negara Shah Alam, pada 4 dan 5 Ogos ini dijangka mendapat perhatian ramai untuk menikmati persembahan kebudayaan dan aktiviti dari suku kaum orang Asal, di negara ini.

Memasuki tahun keempat, festival anjuran Tourism Selangor itu adalah kumpulan budaya terbesar dan kaya dengan puak etnik, di Selangor serta memberi peluang pelawat mempelajari lebih lanjut berkenaan budaya asli Malaysia.

Menurut jurucakapnya, SIIAF kali ini dijangka menarik lebih ramai pelancong ke negeri termaju di Malaysia itu, yang bakal menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan dan aktiviti menarik.

“Tetamu akan dapat mencuba masakan tradisional Semenanjung dan Malaysia Timur, pada acara sajian makanan serta menyertai pertandingan foto untuk memenangi hadiah menarik disediakan.

“Dalam festival kali ini, pelawat juga dapat menyaksikan percubaan Tourism Selangor memecahkan rekod memasak ayam bambu lazat yang disumbat dalam pucuk buluh terpanjang untuk Malaysia Book of Record,” katanya.

Katanya, SIIAF diadakan sejajar Hari Antarabangsa Orang Asal Dunia yang diraikan, pada 9 Ogos setiap tahun dengan matlamat pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mempromosikan dan melindungi hak penduduk Asli dunia.

“Dimulakan pada 2015, SIIAF dianjurkan Tourism Selangor sebagai sebahagian daripada misi untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Selangor melalui kempen, acara dan pameran perdagangan pelancongan tempatan serta antarabangsa.

“Pada tahun ini, Tourism Selangor menyasarkan untuk membawa masuk 7.5 juta pelancong ke Selangor dengan matlamat menjana pendapatan untuk pembangunan dan membina kerjasama dalam kalangan pemain industri,” katanya.


Pengarang :