AGAMASELANGOR

RMS sampai sumbangan YIDE buat anak yatim Hulu Klang

OLEH NADIAH ZAMLUS

HULU KLANG, 3 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 52 anak yatim Rumah Bakti Dato’ Harun di sini, hari ini.

Kesemua penghuni rumah kebajikan yang berusia 7 hingga 16 tahun itu menerima wang tunai RM100 bagi membantu persiapan Aidilfitri yang menjelang tidak lama lagi.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah berkata, KDEB Waste Management melalui YIDE menyalurkan sebanyak RM6,600 bagi peruntukan Aidilfitri.

“Terima kasih kepada KDEB Waste Management kerana meluluskan peruntukan ini dan YIDE turut berharap supaya bantuan ini akan diberikan pada tahun berikutnya.

“Pada 2018, YIDE memperuntukkan sebanyak RM849,200 untuk disalurkan kepada anak yatim seluruh Selangor yang berdaftar dengan YIDE termasuk Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Tanjung Keling Melaka dan Rumah Bakti Dato’ Harun, Hulu Klang,” katanya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin, Penasihat Rumah Bakti Dato’ Harun, Datin Salmah Suleiman dan Pengerusi Rumah Bakti Dato’ Harun, Dato’ Mohd Fahmi Ibrahim.

Rumah Bakti Dato’ Harun dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor pada 5 Mac 1977 dan DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj menjadi penaung pada peringkat awal penubuhan rumah itu.

=EZY=

 


Pengarang :