BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor rasmi Masjid Al-Quddus

OLEH AFIX REDZUAN

SERI KEMBANGAN, 6 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Quddus di Taman Pinggiran Putra bersempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya.

Baginda menurunkan tandatangan di plak perasmian sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan disusuli bacaan doa oleh Dato’ Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.

Masjid ini dibina atas tapak berkeluasan 0.8 ekar dengan kos pembinaan hampir RM3.8 juta.

Nama Al-Quddus dipersetujui bersempena dengan nama Asmaul Husna yang membawa erti tersuci dan bersih dari segala cela serta kekurangan.

Ia dapat digambarkan dengan warna putih bangunan masjid melambangkan bersih, suci fizikal dan spiritual.

Masjid ini dilengkapi dengan kemudahan ruang solat yang mampu memuatkan hampir 1,500 jemaah, tempat letak kenderaan dan ram untuk kegunaan orang kelainan upaya (OKU).

Disebalik cabaran yang dihadapi, masjid ini berjaya disiapkan sepenuhnya dan boleh digunakan pada 31 Mei 2015.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah bersetuju untuk membenarkan solat Jumaat, solat jemaah dan aktiviti lain dilaksanakan mulai 16 Jun 2016.

Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM229,500 kepada 459 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir 117 orang, miskin 280 orang dan 62 mualaf.

=EZY=


Pengarang :