SUKANKINI

WC2018: Rusia kalahkan Mesir

OLEH HAFIZAN TAIB

SAINT PETERSBURG, 20 JUN: Tuan rumah, Rusia meneruskan rentak kemenangan apabila mengalahkan Mesir 3-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, pada Piala Dunia 2018.

Dengan kemenangan itu, pasukan bimbingan Stanislav Cherchesov kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan enam mata dan mencerahkan laluan ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Selepas separuh masa pertama tanpa gol, Rusia turun dengan cabaran lebih hebat dalam babak kedua bagi mencipta jaringan dan memperoleh gol awal melalui gol sendiri dari kesilapan ketua pasukan Mesir, Ahmed Fathi, dua minit selepas itu.

Serangan berterusan dilakukan membuahkan hasil dengan Denis Cheryshev (m59) dan Artem Dzyuba (m62) menambah dua gol menjadikan Rusia mendahului 3-0.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol pada minit ke-79, namun terlambat untuk Mesir.

Cherchesov berkata, Rusia diharap akan terus meningkat selepas ini dan mencatat lebih kemenangan dalam kejohanan itu.

“Kami mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya dan akan melihat apa perlu dilakukan selepas ini,” katanya dipetik AFP.

Rusia membelasah Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.


Pengarang :