SELANGOR

MRR2, Ampang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Beberapa kawasan rendah di pinggir ibu kota terutama di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Ampang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata hujan lebat sejak pukul 3 petang menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air kira-kira setengah meter.

“Hujan lebat di MRR2 menghala Ampang selepas Zoo Negara menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih lima kilometer namun keadaan adalah terkawal dan air mulai surut pada pukul 7.30 petang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata di kawasan Lembah Jaya Utara, Ampang di sini, paras air sungai di kawasan berhampiran turut dilaporkan meningkat setinggi satu meter dan masih dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, pihak bomba telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :