NASIONAL

Kerajaan masih susun, agih tugas antara kementerian – PM

KUALA LUMPUR, 30 JUL: Kerajaan masih dalam proses penyusunan agensi-agensi untuk diletakkan di bawah kementerian-kementerian berkaitan bagi mengelak pertindihan tugas, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini kerana terdapat kementerian yang baru diwujudkan dan kerajaan masih dalam usaha untuk mengagihkan tugas kepada kementerian berkenaan.

“Saya tidak tahu secara terperinci tetapi kita masih menyusun bahagian-bahagian yang akan diletak di bawah kementerian-kementerian kerana kita mempunyai kementerian yang baharu dan kita mempunyai usaha untuk mengagihkan tugas-tugas kepada banyak menteri.

“Kadang-kadang ada timbal tindih antara satu kementerian dengan kementerian yang lain maka kita akan betulkan, ” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan tujuh agensi di bawah Kementerian Kewangan dalam pertimbangan untuk ditutup, yang tular di laman sosial.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :