SELANGOR

Dulu ketawa, sekarang gigit jari

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 OGOS: Suatu ketika dahulu Umno pernah mentertawakan Kerajaan Selangor selepas mengumumkan program pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, parti itu kembali ‘gigit jari’ selepas program terbabit memberi kejayaan besar setelah 10 tahun pelaksanaannya.

“Saya masih ingat mereka kata program itu hanya akan membankrapkan Selangor, namun selepas 10 tahun program itu berlalu, mereka lihat negeri ini semakin maju.

“Sejak awal pelantikan lagi saya sudah menekankan kita tidak akan sesekali meninggalkan rakyat dan biarlah kemajuan negeri ini seiring dengan penduduknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, di Jalan Kebun.

Amirudin turut menggesa pengundi Sungai Kandis terus menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) yang meneruskan tradisi peduli rakyat sehingga hari ini.

Katanya, politik yang digunakan pemimpin PAKATAN juga tidak mencetuskan kemarahan rakyat seperti dilakukan UMNO.

“Politik mereka suka mengapikan sehingga menimbulkan kebencian, sebaliknya PAKATAN walaupun diasak, tetap cuba menunaikan amanah kepada rakyat.

“Buktinya lihatlah negeri ditadbir PAKATAN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 sudah semakin maju ke hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut terkenang gandingan politik Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu masa dulu.

“Saya masih ingat kombinasi berkenaan berjaya membuatkan Malaysia seperti singa, pada masa itu pentadbiran mereka bukan pentadbiran yang merompak, mencuri seperti dilakukan UMNO.

“Jadi, saya yakin kembalinya Anwar mentadbir negara bersama Tun Dr Mahathir akan kembali menjadikan negara kita seperti singa,” katanya.


Pengarang :