SHAH ALAM, 29 OGOS: Program Tadabbur Al Quran anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) bakal diteruskan dengan menjemput wakil dari dua Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai bulan depan.
Yang DiPetuanya, Masdiana Muhamad berkata, sebelum ini program itu dibuka kepada orang ramai yang berminat menyertainya.
“Mulai bulan depan, PEKAWANIS akan menjemput dua DUN ke program ini secara bergilir.
“Program ini mendapat sambutan menggalakkan dan ramai yang mengetahui akan kewujudan program ini.
“Memang kita menjemput setiap DUN hadir, cuma kali ini kita mahu menjemput mereka secara bergilir,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Taddabur Al-Quran kali ke-35 di Kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini.
Masdiana berharap program seperti itu dapat diikuti di setiap DUN.
“Kita mahu isteri-isteri Ahli Dewan Negeri aktif dan boleh mengikuti program-program yang dilaksanakan PEKAWANIS,” katanya.
Pada masa sama, Masdiana berkata, selain program Tadabbur, pihaknya turut mengadakan bacaan zikir minggu kedua setiap bulan.
Pada program itu, seramai 600 peserta menyertai program Tadabbur Al-Quran yang diadakan itu.
Terdahulu, program itu bertujuan untuk umat Islam memahami maksud isi kandungan dan nilai terkandung di dalamnya.
Menerusi platform itu, golongan wanita di Selangor khususnya digalakkan menyertai program berkenaan.