SUKANKINI

Gandingan dua beradik berhasil

IPOH, 19 SEPT: Gandingan dua beradik Muhammad Haris Mohd Rezal dan abangnya, Muhammad Syahmi Mohd Rezal ternyata berhasil apabila mereka berjaya meraih pingat emas buat Selangor dalam acara Terjun 10 meter Platform Seirama Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA), semalam.

Dalam saingan di Pusat Akuatik Tuanku Zara itu, Haris, 13 dan Syahmi, 17, meraih emas selepas mengumpul 313.68 mata sekali gus mengakhiri penantian mereka memenanginya sejak dua temasya lalu.

Syahmi berkata, mereka berusaha keras menghadapi temasya kali ini dengan menjalani latihan empat jam setiap hari termasuklah Sabtu dan Ahad.

“Biarpun kami sudah bertanding sejak SUKMA Perlis 2014, namun ini adalah kali pertama kami bergandingan dalam acara ini (10m platform seirama),” kata lapor Berita Harian.

Tempat kedua diraih gandingan Sarawak, Bertrand Rhodict-Enrique Maccartney Harold dengan 301.23 mata sementara pasangan Terengganu, Nazzarudy Akhashah Othman-Nur Afiq Daniel Sutoyo memenangi gangsa (216.57).

Dalam dua lagi acara terjun yang dipertandingkan semalam, Selangor menambah satu lagi emas menerusi Adeline Chin dalam acara 1m papan anjal wanita apabila mengumpul 243.15 mata.

Sementara rakan sepasukannya, Erica Pan memenangi perak (240.80 mata) dan penerjun Wilayah Persekutuan, Ong Ker Ying di tempat ketiga (231.45 mata).

Acara 1m papan anjal lelaki pula menyaksikan penerjun pelapis negara, Hanis Nazirul Jaya Surya menepati ramalan apabila menghadiahkan emas buat Wilayah Persekutuan dengan catatan 350.25 mata diikuti perak milik penerjun Selangor, Ikhlas Ahmad Sharol Lail (331.85 mata) dan gangsa diraih Enrique (313.20).

 


Pengarang :