SUKANKINI

Pelari pecut Selangor akhiri kemarau emas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pelari pecut Selangor, Muhammad Aqil Yasmin mengakhiri kemarau emas dalam acara larian 100 meter, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menerusi Twitter, beliau menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian atlet berusia 18 tahun itu yang turut mengalahkan dua pelari kebangsaan.

“Selangor mengakhiri kemarau emas dalam acara 100 meter lari pecut pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Tahniah atas kemenangan Muhammad Aqil dengan catatan 10.39 saat (s),” katanya.

Muhammad Aqil mencuri perhatian apabila memenangi emas bagi acara 100 meter SUKMA 2018, di Stadium Perak, semalam.

Atlet yang juga pelajar jurusan Diploma Sains Sukan semester enam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu muncul pelari terpantas SUKMA 2018 apabila melakukan catatan masa 10.39s.

Lebih manis apabila beliau mengatasi dua pelari kebangsaan, iaitu Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan yang ketinggalan 0.04s untuk berada di tempat kedua dan wakil Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail memenangi gangsa selepas membuat larian 10.46s.

Selain Muhammad Aqil, seorang lagi pelari kelahiran Selangor, Muhammad Ilham Suhaimi turut memecahkan rekod SUKMA dengan catatan masa 47.02s, sekali gus meleburkan rekod 47.34s milik Muhd Zaiful Zainal Abidin yang dilakukannya, pada SUKMA Sabah 2002.

 


Pengarang :