NILAI, 11 Jun — Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat model perumahan Youth City dan mendapatkan informasi tentang unit rumah yang dilancarkan pada Majlis Pelancaran Perumahan ‘Youth City’ Tower D ‘Sayangi Anak Nogori’ di Vision City Sales Gallery, Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Nilai, hari ini. — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Lima agensi perumahan ditempatkan di bawah KPKT

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Lima entiti perumahan telah dikenal pasti untuk ditempatkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyelia dan menyelaras pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, entiti terbabit ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), UDA Holdings Berhad, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

“Rancangan untuk meletakkan agensi terbabit di bawah kementerian saya akan dimasukkan dalam Dasar Perumahan Negara yang dijangka dilancarkan Disember ini.

“Ini akan membolehkan pendekatan bersepadu selain mengelakkan pertindihan projek perumahan mampu milik. Ia juga akan memastikan pendekatan bersesuaian untuk pemaju swasta menerusi garis panduan dan penglibatan yang tepat berhubung perumahan mampu milik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zuraida ditemui selepas menyertai Dialog Terbuka Industri-Kerajaan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

Sementara itu, Zuraida berkata kerajaan negeri perlu menyerahkan cadangan tanah mereka untuk projek perumahan kos rendah pada penghujung bulan ini.

“Kerajaan negeri mesti mengenal pasti tanah untuk kita membina rumah kos rendah menjelang akhir bulan ini. Setakat ini hanya Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak telah menyerahkan cadangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata tanah yang dicadangkan itu mesti berkeluasan satu hingga empat hektar.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :