NASIONAL

Pasti kerajaan stabil, laksana reformasi Parlimen

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus stabil di samping melaksanakan agenda reformasi Parlimen.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kedudukan kerusi beliau bersebelahan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat membolehkan mereka berbincang dengan lebih mudah serta berkongsi pengalaman.

Katanya, ia bagi memastikan agenda reformasi Parlimen yang dicadang dapat dilakukan selari seperti diputuskan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Kita akan mengusulkan pembentukan beberapa jawatankuasa bagi meneliti cadangan dan mengemukakan pandangan baru jika perlu serta berbincang dengan pimpinan kerajaan.

“Tugas saya sekarang memantapkan perjalanan Parlimen dan menyokong kerajaan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan baharu yang akan dicadangkan kelak bagi memastikan Parlimen lebih efektif dan tidak hanya bertindak sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata seperti sebelum ini.

Anwar turut menegaskan beliau tidak mahu sebarang jawatan dan hanya mahu bertindak sebagai penyokong kerajaan.

Dalam sidang media sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir dan jemaah menteri kerana menangguhkan mesyuarat bagi menghadiri majlis angkat sumpahnya, di Dewan Rakyat pagi ini.


Pengarang :