NASIONAL

Surina Shukri CEO baharu MDEC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan pelantikan Surina Shukri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baharu bagi menggantikan Datuk Yasmin Mahmood, yang meletakkan jawatan pada 7 Disember tahun lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, Surina telah membina sebahagian besar kerjaya profesionalnya di Amerika Syarikat dan telah kembali ke Malaysia untuk memainkan peranan baharunya di MDEC untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 16 Januari ini.

“Beliau mempunyai pengalaman luas selama lebih 20 tahun bekerja di pelbagai syarikat multinasional terutamanya di JPMorgan Chase & Co dan start-up dalam sektor kewangan, sumber alam, tenaga dan teknologi.

“MDEC telah berjaya menerajui pembinaan ekosistem ekonomi digital negara dan banyak memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya yakin Surina akan berusaha untuk terus membina MDEC dengan kepimpinan dan pengalaman beliau serta membawa MDEC ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas dunia,” katanya dalam kenyataan.

Surina adalah graduan daripada University of Pennsylvania dan mempunyai Sarjana Muda Sains Ekonomi dari The Wharton School serta Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Kejuruteraan Sistem dari School of Engineering & Applied Sciences.


Pengarang :