SELANGOR

Kembang bidang seni kreatif di IPT

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 15 JAN: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini digesa supaya mengambil pendekatan lebih komprehensif bagi mengembangkan bidang seni kreatif berteraskan budaya bangsa dan nilai murni.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, bidang seni tidak harus dilihat sebagai laungan rasa hati sahaja, sebaliknya membantu ke arah pembentukan minda dan peribadi sihat dalam kalangan masyarakat terutama anak muda.

Katanya, karya seni berbentuk hasil kreatif mahupun persembahan seni gerak juga mampu memberi manfaat besar jika diperkasa sebaiknya.

“Daripada sudut lebih luas, karya seni yang indah dan menarik serta bersopan akan dapat membantu mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Semua hasil seni yang mematangkan daya fikir dan kreatif mempunyai makna tersembunyi, kadangkala ia menimbulkan banyak persoalan, namun kita sebagai peminat, penonton dan harus bertimbang rasa kepada penghasil dan penggiat seni terutama pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Program Visual Art Exhibition 2018 (VEX 2018) di Lobi Jabatan Seni Visual, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

VEX 2018 menampilkan cetusan karya daripada penuntut tahun akhir Jabatan Seni Visual dalam dua bidang pengkhususan iaitu Seni Reka Grafik Digital dan Teknologi Fotografi Kreatif institusi terbabit.

Pameran yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengekspresi karya melalui proses pembelajaran selama tiga tahun itu berlangsung dari 15 hingga 18 Januari ini.

Difahamkan, program berkenaan turut diadakan dua kali setiap tahun iaitu pada Januari dan Mei.

Pada masa sama, Abdul Rashid memuji inisiatif penganjuran VEX 2018 yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti dengan memperkasa kemajuan dan kesenian secara lestari.

Katanya, ia turut memartabatkan kedudukan UNISEL sebagai salah sebuah institusi yang mendukung penuh aktiviti kesenian dan tidak memandang enteng terhadap perkembangan seni kreatif.

“Selain menyuntik semangat dan dorongan kepada pelajar untuk bergerak maju ke hadapan mencapai kecemerlangan, ia membantu pembangunan untuk kesejahteraan kita dan generasi mendatang,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global UNISEL, Prof Dr Mohd Nor Nawawi; Dekan Fakulti Komunikasi Seni Visual & Pengkomputeran, Prof Madya Dr Haslinda Sutan Ahmad Nawi; Head Thinker, Thinker Studio, Adly Shairy Ramly dan Ketua Pegawai Eksekutif Silver Ant Sdn Bhd, Goh Aun Hoe.


Pengarang :