NASIONAL

LIMA’19: 31 negara sahkan penyertaan

LANGKAWI, 11 FEB: Sebanyak 31 negara telah mengesahkan penyertaan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang dijadualkan pada penghujung bulan depan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, 12 negara telah mengesahkan penyertaan secara berkumpulan atau pavilion negara iaitu Australia, Belarus, China, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Slovakia, Turki, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Turki, negara yang terkenal mempunyai industri pertahanan yang baik memiliki pavilion terbesar pada LIMA’19 dengan keluasan 730 meter persegi diikuti Rusia 697 meter persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ada Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja LIMA’19 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, LIMA’19 disasarkan merangkumi 60 peratus pengisian pertahanan dan 40 peratus komersil.

Beliau berkata, setakat hari ini peratusan tempahan ruang pameran telah menjangkau 109 peratus dengan jumlah keseluruhan tempahan ruang pameran seluas 11,037 meter persegi.

“Sebanyak 354 syarikat pertahanan dan komersil tempatan serta antarabangsa telah mengesahkan penyertaan pada LIMA’19. Penyertaan ini membabitkan 51 peratus atau 181 syarikat tempatan manakala baki 49 peratus atau 173 syarikat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad mengesahkan kapal mewah Equanimity tidak akan dipamerkan pada LIMA’19 nanti.


Pengarang :