TEMERLOH, 16 April — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (tengah) menunjukkan kualiti isi buah nangka sempena lawatan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) Lanchang hari ini. TPKM Lanchang merupakan kawasan pengeluaran buah-buahan terbesar negara dengan keluasan 3,600 hektar yang dikawal selia oleh Jabatan Pertanian Malaysia. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tingkat kajian saintifik dan pemasaran nangka madu

TEMERLOH, 16 APRIL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan terus memfokuskan kepada usaha mengembangkan pemasaran dan aktiviti kajian saintifik tanaman nangka madu J33.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata nangka jenis itu mempunyai potensi pasaran yang luas kerana rasanya lebih enak dan berkhasiat.

“Kadar eksport dan permintaan nangka dari negara ini amat tinggi khususnya daripada negara-negara Eropah. Kementerian akan terus memfokuskan kepada penanaman nangka J33,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, di sini hari ini.

Untuk rekod, tahun lepas negara mengeksport 266.5 tan nangka madu bernilai kira-kira RM799,500 ke negara-negara Eropah dan Asia Tenggara.

Sementara itu, Salahuddin berkata kementerian juga bercadang memperkenalkan produk buah laici tempatan menggunakan dua klon variasi rambutan iaitu Mutiara Merah dan Mutiara Wangi yang diperkenalkan tahun lepas.

Terdahulu, Salahuddin dibawa melawat ladang nangka dan kolam ikan Suhan Movie yang dimiliki oleh pengarah dan penerbit, Datuk Rosyam Nor sebelum menghadiri sesi dialog bersama lebih 60 pemilik ladang TKPM itu.Turut hadir,Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) Datuk Mohd Anim Hosnan.

TKPM diperkenalkan pada 2001 menerusi Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk mentransformasikan sektor pertanian dengan menggalakkan projek pertanian berskala besar.

TKPM Lanchang mempunyai kira-kira 80 pengusaha ladang membabitkan usahawan dan syarikat swasta.

Mengulas perkembangan lain, Salahuddin optimis keputusan kerajaan untuk menyambung semula projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan jajaran baharu akan membantu meningkatkan sektor pertanian di kawasan terlibat kerana hasil tani mudah diangkut ke ibu negara dan juga pelabuhan.

“Kita percaya aktiviti pertanian di kawasan terlibat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur akan terus rancak,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :