NASIONAL

KPKT kaji mekanisme bolehkan pendapatan sampingan B40 beli rumah

NIBONG TEBAL, 13 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mencari mekanisme untuk membolehkan pendapatan sampingan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dapat dijadikan sebagai sokongan kepada pembiayaan pembelian hartanah.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, perbincangan dengan beberapa pihak dibuat untuk memanfaatkan golongan B40 yang terbabit dalam pekerjaan kedua seperti pemandu Grab dan perniagaan dalam talian bagi membolehkan mereka memanfaatkan pendapatan diperoleh untuk pemilikan rumah.

“Golongan B40 terutama yang membabitkan diri di dalam pekerjaan kedua, ketiga dan keempat jangan membelanjakan duit kepada perkara tidak berfaedah.

“Biar mereka kumpul dan menyasarkan untuk membeli rumah. Jadi, mereka akan menjadi pemilik aset dan hartanah. Ini yang kita nak galakkan.

“Kalau tidak, dulu pemilik hartanah kebanyakannya orang kaya sahaja. Jadi, inilah masanya untuk golongan B40 juga terbabit dalam pemilikan hartanah negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jualan Projek Perumahan JKP Sdn Bhd, di Taman Ilmu di sini hari ini.

Katanya, menurut Grab, ada pemandu yang konsisten mempunyai pendapatan sangat tinggi.

“Saya sudah berbincang dengan Grab yang mana pendapatan pemandu masuk dalam sistem. Di situ, saya kaji mekanismenya bagaimana pendapatan Grab boleh kita manfaatkan untuk membeli rumah.

“KPKT akan melihat cara mendalam bagaimana kita nak manfaatkan golongan ini supaya mereka boleh dapat pemilikan rumah melalui bayaran gaji dalam bisnes Grab,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida turut mengalu-alukan inisiatif pemaju termasuk agensi kerajaan, swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut serta dalam membina rumah mampu milik untuk golongan B40.

Beliau berkata, kerancakan pihak pemaju membina rumah mampu milik untuk golongan itu membolehkan KPKT merealisasikan sasaran kerajaan iaitu membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

“Ketika ini JKP Sdn Bhd adalah satu agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab membina perumahan untuk bumiputera di Pulau Pinang.

“JKP hanya satu-satunya agensi yang ada di seluruh negara. Ini satu perkara yang boleh kita kaji sama ada untuk mewujudkan agensi seumpama ini di negeri lain,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pemaju untuk memperbanyakkan pembangunan dan pembinaan perumahan di kawasan Seberang Perai di negeri ini ekoran pembangunan yang padat di bahagian pulau.

Sementara itu, mengulas berhubung perkembangan status naik taraf Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada Majlis Bandaraya, Zuraida berkata majlis perasmiannya dijangka pada 16 September ini dan pengumuman mengenainya akan dibuat kemudian.

-BERNAMA

 


Pengarang :