Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
AGENDANASIONAL

Bantuan binaan bantu rakyat miliki rumah

KANGAR, 21 JUL : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang memperkenalkan bantuan bahan binaan kepada penduduk luar bandar dalam usaha membantu rakyat memiliki rumah yang sempurna.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Perumahan Negara yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

“Ada penduduk ini mempunyai rumah tetapi telah uzur. Jadi kita boleh bekalkan barangan binaan yang boleh digunakan untuk baikpulih rumah. Makluman yang kita terima, ada kalangan penduduk di luar bandar sedikit demi sedikit mereka baikpulih rumah mereka.

“Mereka (penduduk) gunakan sumber kewangan sendiri setelah menabung untuk satu tempoh dan akan dibangunkan mengikut bajet yang ada,” kata Rina yang berada dalam rangka lawatan kerja ke Perlis di sini, hari ini.

“Ada yang kita nampak hanya ada tiang dulu dibina, selepas itu tunggu duit (wang) cukup dulu baru tambah lain. Jadi nampaklah ada yang lusuh sikit. Dengan idea sebegini boleh bantu rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Rina berkata banyak perkhidmatan yang ditawarkan melalui U.n.i Klinik selain caj rawatan adalah sangat berpatutan dan mampu untuk semua.

“Pembinaan klinik ini kita fokuskan di kawasan luar bandar supaya penduduk setempat dapat menikmati lebih banyak kemudahan perubatan,” katanya selepas merasmikan U.n.i Klinik milik Dr Norazylin Roszaini di Mata Ayer.

Klinik U.n.i itu menawarkan perkhidmatan am, pembedahan kecil, kesihatan wanita, ibu hamil dan kanak-kanak telah menerima hampir 1,000 pengunjung.

Rina berkata sehingga kini, 18 klinik seumpamanya telah beroperasi dengan 22 lagi U.n.i Klinik dijangka beroperasi akhir tahun hadapan.

U.n.i Klinik dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) MARA dalam menggalakkan golongan professional menceburi bidang keusahawanan dan sejumlah 40 U.N.i Klinik dijangka dibuka sebelum akhir 2020. -BERNAMA


Pengarang :