AGENDANASIONAL

Standard minimum perumahan, kemudahan asas pekerja diperluas

KUALA LUMPUR, 31 JUL : Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 yang bertujuan memperluas standard minimum perumahan dan penyediaan kemudahan asas bagi pekerja dalam semua sektor pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua berkata pindaan ke atas Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 itu adalah satu langkah signifikan bagi memastikan pekerja dalam semua sektor menikmati sistem perumahan lebih baik, kemudahan asas selesa dan tahap kesihatan dan keselamatan lebih terjamin.

Beliau berkata pada masa sama, pihak majikan diberikan fleksibiliti untuk menentukan sama ada ingin membina, menyewa atau menempatkan pekerja mereka di penginapan berpusat mengikut kesesuaian mereka.

RUU ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan undang-undang buruh negara selari dengan piawaian dan instrumen sejagat seterusnya meningkatkan imej dan memudah cara penyertaan Malaysia dalam apa-apa perdagangan antarabangsa, katanya.

Turut diluluskan adalah Rang Undang-undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2019 yang bertujuan meningkatkan tahap tadbir urus syarikat dan perbadanan menjadi lebih efektif.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan akta itu tidak mengubah dasar asal akta berkenaan sebaliknya menambah baik prosedur tadbir urus, pengurusan dan memudahkan perjalanan perniagaan syarikat. -BERNAMA


Pengarang :