AGENDANASIONAL

Kerajaan disyor bina pasar borong lebih efisien

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kerajaan disyor mempertimbangkan pembinaan pasar borong baharu dengan menawarkan perkhidmatan bersepadu yang lebih efisien bagi mengatasi isu pembatasan bekalan di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Cadangan dibuat berpandukan dapatan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010 (AP 2010) oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat beberapa isu berkaitan PBKL membabitkan yuran operasi tambahan, kebanjiran pekerja dan penjual warga asing termasuk penyewaan gerai secara haram selain isu jenayah.

“Kita disyorkan untuk menubuhkan satu lagi pasar borong lengkap dengan kemudahan yang cekap dan canggih di lokasi strategik termasuk menggunakan segala pendekatan terbaharu perniagaan secara dalam talian (E-dagang).

“Ini bagi membolehkan peniaga membekalkan produk yang berkualiti tinggi dan harga akan jadi lebih kompetitif untuk pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan ‘Market Review on Food Sector Under The Competition Act 2010’, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abdul Aziz; Pengerusi MyCC, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Saifuddin berkata, PBKL diberi penekanan dalam kajian yang dimuktamadkan selepas sembilan bulan itu berikutan posisinya sebagai pasar borong terbesar di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, kata beliau, pasar berkenaan membekalkan lebih 50 peratus hasil segar seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada zon Tengah termasuk negeri berhampiran.

Sementara itu, Iskandar berkata, pihaknya komited dalam menjaga proses persaingan yang sihat bagi menggalakkan kecekapan, inovasi dan keusahawanan untuk menjadikan pasaran lebih baik.

“Komitmen ini berpotensi mendorong harga yang kompetitif, peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan serta pilihan lebih luas bagi pengguna.

“Jadi, langkah seterusnya adalah bagi semua pemegang taruh berkaitan untuk bekerjasama dalam merealisasikan syor berkenaan,” katanya.


Pengarang :