Tun Dr Mahathir Mohamad memegang buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Eknomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 susun keutamaan pembangunan negara

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) ke arah penyusunan semula keutamaan pembangunan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, matlamat utama WKB2030 yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2021 tanpa perlu melakukan banyak penjajaran adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia.

Katanya, objektif utama wawasan yang ditetapkan adalah pembangunan untuk semua; menangani jurang pendapatan dan negara bersatu, makmur serta bermaruah.

“WKB2030 adalah iiltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian bekalan.

“Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Antara tujuh teras strategik WKB2030 yang digariskan adalah ekosistem perniagaan dan indsutri; aktiviti pertumbuhan ekonomi utama; modal insan (bidang tenaga kerja) serta kesejahteraan sosial.

Turut menjadi teras adalah pasaran buruh dan pampasan pekerja; keterangkuman wilayah dan modal insan yang menyentuh indeks perpaduan serta keharmonian masyarakat.

Selain itu, WKB 2030 turut menekankan tiga matlamat utama supaya seluruh rakyat Malaysia dapat menegcapi taraf hidup wajar iaitu rakyat mempunyai wang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas; kemampuan untuk menyertai aktiviti komuniti, kekeluargaan dan riadah sosial serta kebolehan untuk menjalani kehidupan yang bermakna.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menyentuh isu kemakmuran bersama dalam ucapan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 bagi tahun 2016 sehingga 2020 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2018.


Pengarang :