Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kabinet, meraikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

WKB2030 tingkat keberhasilan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) turut memberikan tumpuan untuk meningkatkan keberhasilan Bumiputera yang tertinggal daripada segi pemilikan kekayaan dan pendapatan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, kedudukan ekuiti korporat negara sehingga 2015 menyaksikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang diterapkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih belum tercapai.

“Ekuiti korporat Bumiputera jatuh kepada 16.2 peratus, manakala bukan Bumiputera turun kepada 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.

“Ini berbanding dengan pemilikan ekuiti korporat pada 2011. Ketika itu, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera berada pada tahap 23.4 peratus, manakala bukan Bumiputera memegang 34.8 peratus. Ekuiti asing ketika itu cuma sebanyak 37.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Dr Mahathir berkata, masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan etnik lain.

“Ada yang menyebarkan khabar palsu bahawa Kerajaan Pakatan Harapan hari ini mahupun Wawasan Kemakmuran Bersama ini mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor.

“Kita sangat memahami masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara.

“Dalam waktu yang sama seperti yang saya selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan Kerajaan. Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang di hadapan,” katanya.


Pengarang :