Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

WKB2030 garis aktiviti pertumbuhan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kerajaan menggariskan beberapa cadangan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) mencapai matlamat dihasratkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahahtir Mohamad berkata, aktiviti itu akan disokong lapan pemboleh daya supaya ia menjadi sumber dan pemangkin yang menyumbang kepada kejayaan WKB2030.

“Cadangan aktiviti ini tidak akan mengabaikan fokus pertumbuhan dan pembangunan aktiviti ekonomi sedia ada seperti minyak dan gas; perkilangan barangan elektronik dan elektrik; serta perkhidmatan lain.

“Antara cadangan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama adalah Hab Kewangan Islam 2.0, Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0 dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Katanya, kesan daripada struktur ekonomi pada dua dekad lalu itu sebenarnya mengembangkan jurang dalam kalangan rakyat sama ada dari kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan.

Jurang dalam kalangan kumpulan pendapatan antara kumpulan berpendapatan 20 peratus teratas dengan kumpulan 40 peratus terbawah semakin melebar daripada perbezaan RM2,000 pada 1990 menjangkau lebih RM10,000 secara tahunan pada 2016.

Manakala jurang antara etnik samada Bumiputera kepada Cina mahupun India kepada Cina berkembang antara 3.5 hingga 4 kali ganda sepanjang 27 tahun lalu.

Dr Mahathir berkata, WKB2030 perlu mencapai indikator sosial dalam memastikan pembangunan yang holisitik dan menepati kehendak pelbagai budaya selaras identiti nasional.

“WKB harus dibangunkan selaras dengan asas dan keperluan akar umbi masyarakat bagi memastikan pembangunan yang holistik dan saksama untuk semua.

“Pembangunan ini berpaksikan identiti nasional yang mengekalkan perpaduan negara dengan nilai tambah positif dan berdaya maju,” katanya.


Pengarang :