Mangsa banjir Roselah Abd Hamid, 33, (kiri) membawa anaknya Zara Batrisya Rahimi, 10 bulan (dua, kiri) untuk menerima rawatan kesihatan di Bilik Kesihatan Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang Kuala Selangor pada 29 Oktober 2019. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

12 kaunselor ditempatkan di semua PPS di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 29 OKT: Seramai 12 orang kaunselor ditempatkan di Pusat Permindahan Sementara (PPS) di sekitar daerah ini bagi membantu menangani tekanan yang dialami mangsa banjir.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata selain menempatkan kaunselor, terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan untuk membantu mengisi masa lapang kanak-kanak yang ditempatkan di empat PPS di sekitar sini.

“Kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor digerakkan ke sini untuk mendengar luahan hati mangsa banjir dan kita juga ada NGO yang datang ke PPS untuk mengisi masa lapang kanak-kanak dengan aktiviti berfaedah antaranya mengajar mengaji, melakukan senaman bersama kaum wanita di sini termasuk mengadakan kursus mengurut,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di sini yang merupakan PPS yang menempatkan mangsa banjir teramai di Selangor.

Setakat jam satu petang tadi seramai 869 mangsa daripada 282 buah keluarga ditempatkan di empat PPS di sekitar daerah ini.

PPS di SK Parit Mahang menempatkan seramai 600 orang mangsa daripada 167 buah keluarga manakala PPS di SK Jaya Setia menempatkan 47 mangsa daripada 16 buah keluarga.

PPS di SK Ijok yang baharu dibuka pagi semalam kini menempatkan 72 orang mangsa daripada 49 keluarga manakala 150 mangsa daripada 50 buah keluarga berada di PPS SK Pasangan.

Dr Mariah berkata taburan hujan tahunan untuk Selangor masih lagi berbaki kira-kira 50 peratus dan pihaknya serta JKM Selangor kini melakukan persediaan untuk menghadapi kemungkinan banjir di daerah berkenaan akan berpanjangan.

-BERNAMA


Pengarang :