S Arivainthan, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 29 Oktober 2019 atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lima dituduh guna Facebook sokong kumpulan pengganas

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Lima lelaki didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka ialah ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S.Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52 tahun.

Kesemua mereka didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook masing-masing atas nama ‘Ariventhan Subramaniam’, ‘Tamilarasan Sivam’, ‘Pumagan Tamilan’ ,’Chandru Suparmaniam’ dan ‘Elilan Elilan’.

Mereka masing-masing dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 9 pagi dan 3 petang, antara 11 Januari dan 11 Oktober lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kesemuanya, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Pada 29 Oktober lepas, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala peguam Ramkarpal Singh, Gan Chen Kiong, Damian Yeo dan R.S.N Rayer mewakili tertuduh.

Muhamad Iskandar tidak menawarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh atas alasan penahanan mereka di bawah SOSMA tidak dibenarkan jaminan.

Peguam Ramkarpal memohon supaya tertuduh dibenarkan jaminan dan turut memohon agar permohonan jaminan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan permohonan jaminan.

Perkarangan lobi mahkamah dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan media yang tiba pada pukul 8 pagi untuk mengikuti prosiding kes itu.

– BERNAMA


Pengarang :