AGENDANASIONAL

Selangor sasar pergiat aktiviti kitar semula

SHAH ALAM, 2 NOV: Keputusan kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan sampah dan pembersihan di negeri ini melalui anak syarikatnya KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) secara berperingkat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadikan jadual kutipan sampah di negeri berkenaan lebih tersusun.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, sejak pengurusan sampah diambil alih oleh KDEBWM, laporan aduan oleh orang ramai mengenai bahan buangan mereka tidak dikutip oleh kontraktor yang dilantik mengikut jadual telah turun dengan ketara.

“Ini menunjukkan KDEBWM menunjukkan prestasi yang amat baik dalam menjalankan tugas diamanahkan. Selain itu, penggunaan teknologi canggih seperti sistem pemantauan kedudukan lori kompektor telah memastikan lori-lori dan pekerja mereka melakukan kutipan sampah mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

KDEBWM merupakan agensi bertanggungjawab dalam kutipan sampah di 11 PBT di Selangor kecuali di Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata pihaknya melakukan pelbagai program dan inisiatif bagi memastikan bandar Shah Alam sentiasa bersih dan terjaga.

Kata beliau, antara usaha MBSA adalah mempergiatkan program mendidik penduduk bandar berkenaan mengenai kepentingan untuk mengamalkan aktiviti kitar semula.

“MBSA mempunyai beberapa buah pusat kitar semula di bandar raya ini antaranya di Seksyen 6, 17, 25, U5 dan U13. Selain itu, MBSA juga menyediakan mesin pengkomposan sisa makanan di Pasar Seksyen 6 dan Seksyen 16.

“Sisa-sisa jualan seperti sayuran dan buah-buahan akan dilupuskan secara sistematik menjadi kompos untuk digunakan sebagai baja,” katanya.

Selain itu katanya, bagi menggalakkan aktiviti kitar semula, MBSA juga menganjurkan pertandingan mengenai amalan tersebut meliputi peringkat sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah.

“MBSA menyokong tindakan kerajaan untuk memperkenalkan Dasar Kebersihan Negara kerana ia merupakan usaha yang baik dan pastinya mampu memberi manfaat kepada rakyat dan PBT,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan Dasar Kebersihan Negara yang dirancang dilancarkan esok merangkumi hala tuju pengurusan sampah secara lebih luas dan tersusun.

Zuraida berkata, dasar itu sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa untuk didiami dan KPKT merangka dasar berkenaan ke arah mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara bersih, mapan dan sejahtera melalui pembudayaan kebersihan.

Dasar Kebersihan Negara dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya kini telah mengerakkan sebuah projek rintis bagi menguruskan sampah yang boleh di kitar semula.

Kata Ramli, projek yang dijalankan sejak awal tahun ini telah berjaya mengasingkan sebanyak kira-kira 15 hingga ke 20 tan sampah yang boleh di kitar semula dalam masa sehari di loji kemudahannya di Klang.

“Loji Material Recovery Facility (MRF) di Klang merupakan loji pertama kami bagi tujuan mengumpul sampah yang boleh di kitar semula, dan kami merancang untuk membuka empat lagi loji seumpamanya di seluruh Selangor pada masa depan,” katanya.

KDEBWM yang memiliki 500 lori kompektor dan 500 lori RORO memungut sampah kira-kira 10,000 tan sehari di 11 kawasan PBT dibawah tanggungjawabnya.

Tambah Ramli, dasar berkaitan kebersihan negara yang dilancar kelak diharap dapat menggalakkan orang awam supaya mengamalkan pengasingan sampah yang boleh kitar semula dengan sampah sisa makanan.

Ini kerana menurutnya, melalui data syarikat tersebut, hanya 10 hingga ke 15 peratus pengguna mengamalkan pengasingan sampah antara yang boleh dikitar semua dan yang tidak.

“Sudah tiba masanya kita galakkan masyarakat kita untuk melakukan pengasingan sampah kerana kita menghasilkan sampah terlalu banyak dan ini membuatkan landfill semakin cepat mencapai kapasitinya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :