SHAH ALAM, 10 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan Ops Sapu dengan mengetuk pintu setiap rumah didiami warga asing di beberapa kawasan bagi membersihkan kediaman.
MPK melalui Facebook memaklumkan operasi bersepadu kelmarin melibatkan kira-kira 300 penghuni di lorong belakang rumah kedai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan sekitar Jalan Pasar Baru 1 hingga 3 Off Jalan Meru.
Pihak berkuasa tempatan itu mahu memastikan penghuni mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain membantu mereka meningkatkan tahap kebersihan di kediaman mereka.
“Kita pergi dari rumah ke rumah yang didiami warga asing dan meminta mereka membuat pembersihan secara menyeluruh.
“Tindakan pembersihan dilakukan serta-merta dengan dipantau kakitangan MPK serta KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya.
Sebelum aktiviti pembersihan bermula, semua penghuni diberi taklimat berhubung kepentingan menjaga kebersihan bagi mengelak jangkitan penyakit.
“Mereka dibekal peralatan seperti plastik sampah dan penyapu malah keadaan baik serta terkawal semasa pembersihan dijalankan,” katanya.