BATU CAVES, 1 MEI: Kerajaan Selangor meneliti tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan pengoperasian semula sektor ekonomi demi menjamin keselamatan rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata satu mesyuarat akan diadakan bersama yang dipertua dan pegawai daerah bagi membincangkan secara terperinci berhubung perkara itu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2020/05/PSX_20200501_200552-500x333.jpg.webp)
“Sejak Rabu lalu, kita sudah mengarahkan setiap agensi dan jabatan terbabit untuk meneliti kemungkinan kebenaran terhadap beberapa agensi termasuk kebenaran operasi sebagaimana yang diumum (Perdana Menteri).
“Justeru, kita akan teliti SOP yang diberikan dan dalam tempoh beberapa hari sebelum 4 Mei, kita akan memperkemaskan termasuk menilai kembali operasi tersebut,” kata beliau.
Amirudin berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di Balai Penghulu Mukim Batu di sini hari ini.
Beliau turut menjangkakan sektor ekonomi di negeri ini tidak akan beroperasi 100 peratus Isnin ini.
“Kita akan melihat zon lebih mikro kerana yang ada pada kita sampai tahap mukim sahaja, tetapi satu-satu (mukim) mempunyai lokaliti yang besar.
“Kadangkala satu mukim atau satu kes dicatat jauh daripada lokaliti tertentu (dan) mungkin itu yang dibenarkan.
“Bagaimanapun, jika dibiarkan berterusan tanpa membenarkan aktiviti ekonomi kita tahu struktur ekonomi akan rapuh dan goncang,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan kerajaan membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula mulai 4 Mei ini selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.