Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPP ujian sebenar tahap disiplin kendiri, sosial masyarakat

SHAH ALAM, 9 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok sehingga 31 Ogos depan menjadi medan menguji tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata masyarakat harus kekal waspada dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan tiada peningkatan kes dalam kalangan komuniti setempat.

“Tiada kes penularan dalam negara membabitkan rakyat tempatan hari ini dan ia pencapaian boleh dibanggakan selepas pelbagai usaha dilaksana bersama semua pihak dengan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

“Justeru, kita berharap rantaian Covid-19 di negara ini dapat segera diputuskan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menyentuh isu pembukaan semula sekolah yang dibincangkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata keputusan melalui perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kabinet esok.

“Selepas itu KPM akan buat pengumuman…Kita tunggu selepas mesyuarat kabinet (esok) dan tindakan susulan kementerian tersebut,” katanya.


Pengarang :