Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media pelancaran portal Seldec dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan SUK, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Terus mara, jangan kenang mereka yang tinggalkan KEADILAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor terus mara meskipun ada pemimpin meninggalkan parti dan melepaskan jawatan sebelum ini.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan tersebut tidak menjejaskan keutuhan pentadbiran negeri dan yakin ia tidak berulang lagi.

“Kalau dah keluar, keluarlah. Parti dah buang sejumlah orang. Selangor juga ada lebih kurang 100 individu yang telah diambil tindakan disiplin atau keluar dengan rela.

“Sekarang masa untuk kita terus ke depan. Jangan dikenang mereka yang telah pergi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan portal Seldec di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Kenyataan itu merujuk tindakan Ahli Dewan Negeri Sementa Dr Daroyah Alwi yang meninggalkan parti pada 13 Jun lalu dan melepaskan jawatan yang disandang.

Amirudin berkata pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Dr Daroyah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor dan penggantinya sedang dikenal pasti.

Sementara itu, katanya, 10 jawatankuasa cabang Kapar yang dilantik dalam pemilihan lalu juga masih setia bersama KEADILAN sehingga kini.


Pengarang :