Individu pulang dari luar negara dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh kuarantin di rumah. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

KKM: 2,897 individu belum dapat pelepasan tanggal gelang pengawasan

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seramai 2,897 individu yang pulang dari luar negara belum tampil ke pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan polis untuk mengambil tindakan ke atas individu tersebut.

“Kementerian Kesihatan (KKM) terus bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang belum memberi keputusan ujian saringan kedua Covid-19 kepada PKD pada hari ke-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa pengembara yang pulang ke negara ini sebelum 24 Julai lalu supaya mematuhi syarat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh kuarantin di rumah dan jalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan diiktiraf KKM serta mendapatkan salinan keputusan ujian sebelum hadir ke PKD pada hari ke-14 untuk pelepasan,” katanya.

Untuk makluman, sehingga 24 Julai 2020, 17,897 orang pengembara diberi pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan menangkap dan mendakwa individu yang gagal menjalani ujian saringan kedua Covid-19 mulai esok.


Pengarang :