Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM, syarikat penerbangan bincang ujian Covid-19 penumpang transit

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan untuk melaksanakan saringan Covid-19 terhadap penumpang transit di negara ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata langkah tersebut wajar dipertimbang sebagai syarat sebelum mereka berlepas ke negara lain bagi mengelak penularan wabak di dalam pesawat.

“Kita bimbang kerana kes sedang meningkat di negara lain, mungkin selepas ini sekiranya penumpang terbabit melepasi saringan, baharu kita benarkan meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun kos saringan perlu dibayar penumpang dan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas berhubung sekatan sementara penerbangan dari Malaysia oleh Kemboja susulan 55 penumpang menaiki pesawat Malaysia dari Indonesia disahkan positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, semua penumpang positif itu hanya transit dari negara ini.

Semalam, portal The Cambodia Daily melaporkan larangan bersifat sementara itu berkuat kuasa 1 Ogos ini. Turut dihalang memasuki negara itu adalah penerbangan dari Indonesia.


Pengarang :