Paparan skrin menujukkan antara aplikasi media sosial popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rujuk laman berita yang disahkan, elak maklumat palsu – SKMM

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati orang ramai agar memastikan sebarang maklumat yang diperoleh adalah daripada laman media sosial yang mendapat lencana pengesahan daripada penyedia platform berkenaan.

Jurucakap SKMM Muhammad Amirul Hafiz Rosly berkata dengan cara itu, segala berita atau informasi yang diperoleh adalah dipastikan sahih dan datang daripada organisasi serta individu sebenar di sebalik laman sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.

“Terlalu banyak page (laman) yang sengaja dicipta untuk menyebarkan berita palsu. Jadi SKMM menasihati orang ramai untuk pastikan terlebih dahulu sama ada terdapat ‘blue tick’ atau ‘grey tick’ (lencana pengesahan) pada laman sosial itu.

“Dengan cara ini juga, pemilik akaun yang telah disahkan dengan mendapat tanda blue tick atau grey tick akan lebih bertanggungjawab dalam berkongsi atau membuat sebarang posting (hantaran) di laman media sosial mereka,” katanya kepada Bernama selepas memberi taklimat kepada peserta kursus ‘Memerangi Berita Palsu’ di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri di sini.

Kursus anjuran unit kluster Komunikasi Strategik IPPTAR itu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, disertai oleh peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan seluruh negara sebagai usaha mendalami landskap media baharu di negara ini khususnya memerangi maklumat palsu.

Muhammad Amirul Hafiz berkata lencana pengesahan itu biasanya boleh dilihat bersama-sama di sebelah nama pemilik akaun media sosial berkenaan.

“Biasanya hanya terdapat satu lencana pengesahan iaitu blue tick di Twitter, YouTube, Instagram sementara di Facebook pula memiliki dua jenis pengesahan iaitu ‘blue tick’ dan ‘grey tick’.

“Bezanya ‘blue tick’ diberikan kepada main organisation (organisasi utama) dan grey tick pula kepada agensi di bawahnya, tapi yang pastinya kedua-dua lencana pengesahan ini adalah sah dan mendapat pengesahan daripada penyedia platform terbabit,” katanya.

Muhammad Amirul Hafiz yang juga Ketua Unit Media Baharu SKMM yang mengendali dan bertanggungjawab pada portal semak fakta, Sebenarnya.my berkata senario media baharu di Malaysia ketika ini menunjukkan kebergantungan maklumat yang sangat kritikal dalam kalangan pengguna media sosial.

“Portal sebenarnya.my menerima 48.7 peratus iaitu 791 maklumat tidak sahih daripada keseluruhan 1,624 (maklumat) dalam tempoh enam bulan tahun ini.

“Malah kita menjangkakan jumlah berita palsu itu akan naik dua kali ganda pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata purata seseorang melayari internet adalah tujuh jam sehari dengan peratusan penggunaan sosial media adalah paling tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :