Wakil media mengambil gambar sistem perparitan yang telah dinaik taraf bagi tujuan tebatan banjir di kawasan Padang Jawa, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor peruntuk RM46 juta laksana projek tebatan banjir

SHAH ALAM, 30 OKT: Projek tebatan banjir akan dilaksanakan di beberapa lembangan sungai termasuk empat lokasi kritikal membabitkan peruntukan RM46.75 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM21 juta diperuntukkan untuk projek di lembangan Sungai Langat, lembangan Sungai Klang (RM10.3 juta), lembangan Sungai Selangor (RM7.5 juta) dan lembangan Sungai Buloh (RM2 juta).

“Projek-projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutamanya lembangan Sungai Langat kerana pada Julai lalu telah berlaku banjir di pekan Kajang dan Dengkil akibat daripada limpahan Sungai Langat.

“Projek tebatan banjir ini juga akan dilaksanakan secara sinergi dengan projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan lebih holistik dalam menangani isu banjir di Selangor,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga menyalurkan dana RM12.51 juta bagi pembangunan sistem saliran bersepadu dengan perancangannya dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dengan kos RM3 juta.

“Ia membabitkan lima kawasan iaitu Klang Selatan dan Teluk Gong (Klang), Bandar Ampang (Hulu Langat), Puncak Alam (Kuala Selangor), Sungai Besar (Sabak Bernam).

“JPS Selangor juga akan melaksanakan projek kolam takungan banjir di Rawang bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Gong, Gombak dengan kos RM15 juta,” katanya.


Pengarang :