Beberapa botol berisi sampel air yang diperiksa berkala mengikut masa di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Belanjawan Selangor 2021 tumpu atasi pencemaran air

SHAH ALAM, 30 OKT: Belanjawan Selangor 2021 memberi tumpuan untuk mengatasi isu pencemaran sumber air di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengatasi sehingga 90 peratus punca pencemaran yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air.

“Isu gangguan bekalan air merupakan perkara kritikal di Selangor dan kita lakukan kajian untuk atasinya, jadi kita luluskan beberapa projek untuk dimulakan segera yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi sidang media selepas Pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini (DNS) hari ini.

Terdahulu ketika membentangkan belanjawan, Dato’ Menteri Besar menggariskan empat langkah untuk mengatasi isu gangguan bekalan air.

Perkara tersebut meliputi projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong dan menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk.

Turut dilaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih serta pemantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan sensitif.


Pengarang :