Pekerja Indah Water Konsortium melihat lokasi disyaki menyebabkan pencemaran bau Sungai Selangor di loji kumbahan Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LRA kembali operasi, bekalan air dijangka pulih 3 petang

SHAH ALAM, 11 NOV: Empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas semalam akibat pencemaran di Sungai Selangor beroperasi semula jam 2.40 pagi tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata susulan itu pengguna terjejas di tujuh wilayah dijangka menerima bekalan air mulai jam 3 petang ini secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan.

“Ujian kadar bau di semua LRA mendapati bacaan 0 TON dicatatkan tiga kali berturut-turut.

“Sehingga 7 pagi ini, kerja pencucian dan pengepaman di bahagian proses rawatan LRA selesai dicuci dan dipam bagi memastikan kualiti air bersih dan mengikut piawaian Kementerian Kesihatan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan pagi ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara turut mengesahkan tiada lagi pencemaran bau pada sumber air mentah berkenaan.

“Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air diagihkan kepada para pengguna.

“Bantuan bekalan air alternatif akan diteruskan termasuk menggerakkan 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan 17 pusat khidmat setempat serta mengagihkan air minumam lima liter,” katanya.

Susulan pencemaran itu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas hingga menyebabkan lebih 1.1 juta pemegang akaun di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.


Pengarang :