Hanya imam dan bilal mengerjakan solat Zohor di Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam pada 18 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Patuhi SOP ketika tunai solat di masjid, surau

SHAH ALAM, 13 JAN: Ahli jawatankuasa masjid atau surau dan pihak berkaitan perlu patuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menunaikan solat di rumah ibadat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata mereka termasuk jemaah musafir atau pelawat harus sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, berwuduk dari rumah serta mencatat kehadiran menerusi aplikasi MySejahtera atau Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Jemaah yang mempunyai suhu badan lebih 37.5 celcius dilarang masuk kawasan masjid dan surau.

“Rujuk ketetapan bagi semua rumah ibadat seluruh Selangor susulan pelaksanaan PKP di negeri ini yang bermula Subuh 13 Januari (hari ini) sehingga ketetapan baharu lain dikeluarkan secara rasmi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangguhkan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid serta surau mulai hari ini dan menetapkan hanya lima petugas dibenar mendirikan solat.

Penangguhan solat Jumaat melibatkan 425 masjid dan 278 surau kebenaran manakala bagi fardu jemaah pula membabitkan masjid dengan jumlah sama serta 2,025 surau.


Pengarang :