Pasukan petugas khas mengagihkan bantuan makanan kering kepada penduduk DUN Bandar Baru Klang pada 16 Januari 2021. Foto Facebook Teng Chang Khim
SELANGOR

Ahli parlimen Kapar hargai bantuan makanan disalur Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 2 FEB: Bantuan makanan berjumlah RM50,000 yang disalurkan Kerajaan Selangor kepada Parlimen Kapar dimanfaatkan untuk program bank makanan.

Ahli Parlimennya Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata sumbangan diutamakan kepada golongan memerlukan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang, Sementa dan Meru.

“Bantuan juga akan diberikan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 sebagai menghargai jasa mereka,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, sumbangan berkenaan amat dihargai malah mengalu-alukan sebarang program yang dapat membantu rakyat susah terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

“Saya bersyukur menjadi wakil rakyat di Selangor. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan penderitaan rakyat,” katanya.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Kita Selangor melibatkan peruntukan RM73.87 juta bagi membantu rakyat susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.

Melalui pakej itu, antaranya adalah peruntukan RM100,000 kepada 56 DUN serta RM50,000 untuk ahli parlimen membabitkan agihan makanan asas kepada penduduk terjejas.

 


Pengarang :