Petugas Pejabat Kesihatan Kuala Langat mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas seorang warga asing di Pangsapuri Langat Utama, Kuala Langat pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiada jangkitan baharu Covid-19 di Sabak Bernam hari ini

SHAH ALAM, 15 FEB: Sabak Bernam menjadi satu-satunya daerah di Selangor merekodkan sifar kes Covid-19 hari ini.

Kali terakhir tiada jangkitan di daerah terbabit pada 24 Januari lalu manakala tiga kes semalam, Sabtu (lapan) dan Jumaat (dua).

Bagaimanapun, daerah berkenaan masih ditakrifkan sebagai zon merah susulan terdapat 83 kes terkumpul dalam tempoh dua minggu sejak 2 Februari.

Menurut data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Hulu Langat mencatat angka tertinggi dengan 195 kes namun 26 daripadanya melibatkan penularan dalam penjara.

Kes harian di daerah lain pula adalah Petaling (194), Klang (184), Gombak (171), Kuala Selangor (112), Sepang (35), Kuala Langat (15) dan Hulu Selangor (empat).

Kes baharu di Selangor turun kepada tiga digit hari ini apabila mencatat 910 kes, 149 kes melibatkan penularan kluster sedia ada, kluster baharu (42), saringan kontak rapat (575) dan lain-lain saringan (186).

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 87,853 dan 4,412 daripadanya aktif dengan kebolehjangkitan.

Keseluruhannya, Malaysia merekodkan 2,176 kes hari ini, dua kali ganda lebih rendah berbanding kes sembuh yang mencatat 4,521.

 


Pengarang :