Rosmaliza Abd Razak dan Norlizah Mansor yang mengusahakan kantin sekolah sejak 2012 mengikut jejak langkah ibu bapa mereka
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Separuh pekerja lari, gerai jalanan selamatkan kantin

FOTO REMY ARIFIN

SHAH ALAM, 20 MAC: Covid-19 mengubah 360 darjah kehidupan Rosmaliza Abd Razak dan Norlizah Mansor. Perusahaan kantin mereka terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

Mengusahakan kantin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Mahadi dan SMK Taman Klang Utama Rosmaliza, 45, dan Norlizah, 44, termenung jauh mengenang nasib.

Tambahan pula bil elektrik dan bil air dua kantin itu perlu dilunas kira-kira RM3,600 sebulan. Mereka turut menanggung hutang hampir RM5,000 dengan pembekal barang mentah, sejuk beku dan keperluan lain.

“Kebetulan kami baru memenuhkan stok bekalan bahan mentah, sejuk beku dan keperluan lain untuk tempoh seminggu sehari sebelum PKP diumumkan.

“Kami cuba pulangkan bahan mentah yang dibeli secara kredit tetapi ramai pembekal menolak. Ada juga yang terima separuh sahaja kerana mereka juga tanggung kerugian.

“Apabila sekolah dibuka semula pada Julai lalu, barang sudah rosak dan ada yang luput tarikh menyebabkan kami kerugian kira-kira RM6,000 hingga RM8,000,” kata Rosmaliza kepada SelangorKini.

Jualan sejak sekolah kembali dibuka juga tidak serancak dulu. Bukan semua pelajar bersekolah, bahkan hasil jualan habis untuk gaji pekerja, hutang pembekal dan bil tertunggak.

Separuh pekerja lari. Hanya lapan saja masih bertahan. Pelajar tingkatan lima pula lebih gemar makan di luar berbanding kantin sekolah. Hanya gaji bulan pertama saja mampu dibayar ketika PKP pertama menggunakan duit simpanan yang memaksa pekerja angkat kaki.

Lesen sementara

Angan mereka musim persekolahan 2021 bakal memberi nafas baru tapi kes Covid-19 melonjak kembali. Lebih mencabar apabila kerajaan mengumumkan PKP 2.0 pada 13 Januari lalu.

Sekolah dibuka untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia 2020 dan tingkatan lima 2021 sahaja. Mereka mati akal.

Pekerja menyusun perkakas bagi memastikan kebersihan kantin sekolah terpelihara

Walaupun memperoleh pendapatan tambahan melalui katering kecil-kecilan tapi bukan selalu ada tempahan.

Mereka mula memikirkan sumber pendapatan lain. Bukan saja untuk bayar bil tertunggak tapi demi kelangsungan hidup mereka.

Langganan siaran televisyen satelit juga sudah lama ditamatkan. Semua bil dibayar selang sebulan untuk mengelakkan bekalan air dan elektrik dipotong.

Walaupun tahu ia menyebabkan tunggakan bertambah tetapi mereka tiada pilihan. Keperluan asas perlu diutamakan.

Penghujung Februari, mereka tekad membuka gerai menjual sarapan tidak jauh dari SMK Raja Mahadi.

Usaha itu tidak mudah. Baru tiga hari berniaga, Rosmaliza dan Norlizah didatangi penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang kerana tidak mempunyai lesen.

Mujur barang niaga tidak dirampas. Cuma gerai diarah tutup. Ketika itu masih awal pagi, banyak belum dijual. Rugi lagi.

Lebihan jualan itu disedekah kepada jiran dan orang ramai. Selepas hampir seminggu, permohonan mendapatkan lesen perniagaan sementara diluluskan.

Mereka bersyukur dapat menampung sedikit perbelanjaan keluarga meskipun pendapatan tidak sekencang berniaga di kantin sekolah.

Pinjaman Hijrah

Rosmaliza dan Norlizah yang mengusahakan kantin sekolah sejak 2012 mengikut jejak langkah ibu bapa mereka.

Kedua-duanya membelanjakan hampir RM150,000 membaik pulih dan menaik taraf dua kantin itu bermula SMK Raja Mahadi melalui empat kali pinjaman Yayasan Hijrah Selangor.

Mereka membesarkan dapur, menukar longkang seramik, mengubah suai dan membesarkan bilik guru, memasang kipas di dewan makan pelajar, mengganti bumbung serta siling pecah, menambah sinki pelajar dan memasang besi penghadang untuk pelajar beratur.

Kantin diusahakan Rosmaliza Abd Razak dan Norlizah Mansor mendapat pujian Pejabat Pendidikan Daerah Klang

Pinjaman kali pertama sebanyak RM3,000 kira-kira tiga tahun lalu diikuti RM6,000 kemudian RM30,000 dan terakhir kira-kira sebulan sebelum PKP dilaksanakan berjumlah RM50,000.

Kantin SMK Raja Mahadi mendapat kepercayaan dan pujian pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah Klang sekali gus memberi keyakinan kepada dua rakan kongsi itu memohon tender kantin SMK Taman Klang Utama.

Antara pengiktirafan diraih adalah tempat ketiga Anugerah Kantin Terbaik Kebangsaan 2018, johan Anugerah Pengurusan Kantin Cemerlang Daerah Klang 2014 dan 2015, johan kategori kantin sekolah Pertandingan Kebersihan Premis Makanan Peringkat Majlis Perbandaran Klang 2018, Anugerah Khas Pengetua SMK Raja Mahadi dan tempat ketiga Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin peringkat kebangsaan 2018.

Mengimbas kembali pengalaman ketika memulakan perniagaan di SMK Raja Mahadi, Norlizah memberitahu keadaan kantin ketika itu tidak terurus.

“Masa mula masuk sini, keadaan kotor dan banyak rosak. Pengusaha lama pula berkeras tidak mahu beredar kononnya mempunyai pengaruh politik di Klang.

“Kami terpaksa meminta bantuan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Klang, sekolah dan polis untuk memaksa mereka mengosongkan kantin,” katanya.

Mereka mengembangkan lagi perniagaan sebaik mendapat tender kantin SMK Taman Klang Utama pada 2018. Ketika itu, pendapatan mereka kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

“Sekarang memang agak sukar. Saya harap perniagaan kantin rancak semula apabila sekolah dibuka sepenuhnya.

“Semoga perlahan-lahan kami dapat pulihkan semula kerugian yang ditanggung lebih setahun ini,” katanya.

Rosmaliza dan Norlizah berharap pembukaan penuh persekolahan pada 5 April ini mampu menjadi pemangkin untuk bangkit semula memulihkan perniagaan kantin yang diusahakan hampir 11 tahun lalu.


Pengarang :