SUBANG JAYA, 25 JUN: Khuatir dijangkiti Covid-19 daripada bapa mereka, seorang ibu tekad membawa dua anak perempuannya menjalani saringan bersasar.
Noorul Haish Ahmad Haja, 28, berkata suaminya disahkan positif baru-baru ini hasil saringan tempat kerja dan kini diarahkan kuarantin di rumah.
“Saya mengambil keputusan untuk datang buat saringan bersama dua anak perempuan berusia empat dan 11 tahun kerana khuatir berjangkit dengan suami.
“Setibanya di sini saya buntu kerana dimaklumkan perlu berdaftar terlebih dahulu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan risau jika tidak dibenarkan buat saringan.
“Namun pihak pengurusan membantu melancarkan proses pendaftaran dan membolehkan saya, anak-anak bersama anak saudara buat saringan,” katanya ketika ditemui pada program saringan bersasar di Laman Sukan USJ 1 semalam.
Program saringan bersasar dianjurkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya susulan terdapat dua restoran di USJ 14 merekodkan kes positif.
Warga emas, Yeo Seng Huat, 72, pula berkata beliau hadir melakukan saringan kerana pernah mengunjungi salah sebuah restoran tersebut pada 9 Jun lalu.
“Anak meminta melakukan saringan kerana saya merupakan antara yang berisiko tinggi kerana mempunyai penyakit darah tinggi dan jantung.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya dan keluarga tiada sebarang simptom dan berharap keputusan negatif kerana khuatir kini terdapat individu disahkan positif tetapi tidak bergejala,” katanya.