Sukarelawan manyantuni keluarga yang terjejas banjir di Kampung Labohan Dagang Banting pada 1 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

42 mangsa banjir di Kelanang, Banting ke dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 42 individu dari 12 keluarga di Kelanang dan Banting dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir, malam tadi.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata jumlah itu merangkumi enam keluarga dengan 26 mangsa di PPS Dewan Kampung Kelanang dan baki di PPS Dewan Kampung Banting.

“Kesemua mereka dipindahkan sekitar jam 11 malam susulan air sungai berdekatan naik kerana hujan lebat. Setakat ini tiada pertambahan mangsa kerana air sungai mulai surut, selain cuaca bertambah baik,” kata Mohd Jusni Hashim kepada Selangorkini.

Beliau berkata kesemua mangsa diberikan makan dan minum yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala pejabat kesihatan daerah memantau tahap kesihatan mangsa.

Pada jam 10.30 pagi tadi, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan itu melepasi paras normal 4.20m disebabkan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Paras air Sungai Langat di Dengkil, Sepang turut melepasi tahap waspada apabila mencatatkan bacaan 6.68m, juga akibat hujan.


Pengarang :