Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir menandatangani plak ketika gimik pelancaran majlis Apresiasi Seni, Pelancaran Album “Tahun Ini Raya” MBPJ Dan Iftar Ramadhan 2022 di Hotel Avante, Petaling Jaya pada 20 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ lancar album raya, promosi Petaling Jaya sebagai kota seni

PETALING JAYA, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sebuah album raya berjudul ‘Tahun Ini Raya’ yang mempunyai enam lagu bertemakan Aidilfitri.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata idea penghasilan album itu dicetuskan oleh warga kerjanya menerusi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kebudayaan, Kesenian, Sosial dan Pelancongan.

“Salah satu tujuan kita hasilkan album ini adalah kerana mahu mempromosi Petaling Jaya sebagai sebuah kota seni dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama kakitangan.

“Penerbitan lagu raya ini juga mengetengahkan kreativiti penghasilan lagu yang bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran penggiat seni MBPJ dalam berkarya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan album raya dan meraikan penggiat seni MBPJ dalam majlis berbuka puasa semalam.

Menurutnya, penganjuran majlis itu juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada penggiat seni kerana memartabatkan dan memelihara kebudayaan seni di Petaling Jaya.

“Selain itu, majlis ini juga satu platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penggiat seni dan pengurusan tertinggi MBPJ,” katanya.

Orang ramai boleh mendengarkan dendangan lagu raya hasil ciptaan warga kerja MBPJ menerusi album ‘Tahun Ini Raya’ menerusi semua platform media sosial pihak berkuasa tempatan itu.


Pengarang :