Orang ramai mendaftar untuk mendapatkan pemeriksaan percuma dalam progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Individu 60 tahun ke atas paling ramai hadir pemeriksaan kesihatan DUN Sabak

SABAK BERNAM, 28 MEI: Majoriti peserta program pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dihadiri individu berusia 60 tahun ke atas.

Pengurus Besar Selgate Healthcare Sdn Bhd Dr Jeevarajah Ratnarajah berkata setakat jam 1 petang tadi lebih 82 peserta tidak melepaskan peluang membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti status kesihatan masing-masing.

Menurut beliau, sambutan dalam kalangan penduduk luar bandar amat baik sekali gus membuktikan kepekaan mereka terhadap soal kesihatan terutama selepas peralihan negara ke fasa endemik.

“Kita tengok sambutan sangat baik kerana rakyat Malaysia sebenarnya kurang buat saringan kesihatan. Kebiasaannya kalau buat program hanya 20 hingga 30 orang sahaja yang hadir.

“Bagaimanapun program hari ini ramai hadir pada waktu pagi. Kita jangka bilangan peserta bertambah kerana 500 slot disediakan untuk penduduk di sini,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Hotel dan Mini Grand Sabak dekat sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak Ahmad Mustain Othman (kiri) diringi oleh Pengurus Besar Selgate Healthcare Sdn Bhd Dr Jeevarajah Ratnarajah (kanan) menyantuni peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata program terbabit menumpukan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma berikutan ramai rakyat negara ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kita memang menitikberatkan NCD dan semua saringan ini dibuat di lapangan dengan peserta perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan pengesanan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :