EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah (tiga, kiri) menyampaikan sijil dan pingat kepada Pengerusi MPKK Kampung Tanjung Keramat, Mohamad Naser Mohamad Amid, 41, (dua, kiri) pada Majlis Apresiasi Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 4 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Penghulu, ketua kampung diseru guna media sosial secara berhemah

KLANG, 5 JUN: Penghulu dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini diseru menggunakan media sosial secara berhemah dalam menyalur maklumat atau menyuarakan pandangan.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata perubahan pantas teknologi menuntut golongan terbabit menjadi lebih bijak dalam menilai dan menapis segala maklumat diterima.

“Pada masa kini, penyaluran maklumat dalam dunia tanpa sempadan menggunakan media sosial menjadi begitu dominan berbanding dengan kaedah konvensional.

“Kita boleh mengakses apa-apa maklumat di hujung jari pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Justeru, saya menyeru agar menggunakan saluran yang betul dalam mengutarakan pendapat.

“Saya percaya anda sentiasa bersedia menerima perkara diutarakan, apatah lagi sekiranya ia dapat membantu memperbaiki penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri,” kata Borhan Aman Shah.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Majlis Apresiasi Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 4 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi 373 Ketua Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, ADN Ijok Dr Idris Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Aslynda Mohd Dahlan.

Dalam pada itu, Borhan berharap majlis tersebut membakar semangat pemimpin masyarakat untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik sekali gus meningkatkan imej Selangor sebagai negeri berkebajikan.

“Saya berharap dalam tempoh mendatang memberi rangsangan kepada anda semua untuk terus mengorak langkah ke depan seiring dengan semangat Kita Selangor, Negeir Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani,” katanya.


Pengarang :