Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Dua ketua kampung baharu di Bukit Melawati, perjuangan tiga tahun berbaloi

KLANG, 5 JUN: Penubuhan dua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tradisi baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati berbaloi selepas tiga tahun diperjuangkan.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata pengisytiharan MPKK Kampung Teluk Piai dan Tanjung Keramat pada Januari lalu tepat pada masanya sekali gus membela kebajikan penduduk di kawasan terbabit.

Beliau menjelaskan sebelum ini masyarakat di kedua-dua penempatan itu kurang mendapat perhatian terutama kemudahan infrastruktur berikutan peruntukan tidak mencukupi untuk menampung kepadatan penduduk di bawah pentadbiran MPKK Kampung Permatang.

“Saya angkat isu ini ke perhatian Kerajaan Negeri kerana kampung berkenaan sewajarnya mempunyai ketua kampung, peruntukan dan pengurusan tersendiri.

“Alhamdulillah saya berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah yang menyokong dan meluluskan penubuhan dua MPKK ini,” katanya.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah menyampaikan anugerah kepada Ketua Kampung Tradisi Tasik Permai Wanita Lantikan Pertama Negeri Selangor, Nor Sanizah Ghazali (dua, kiri) pada Majlis Apresiasi Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 4 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ditemui selepas Majlis Apresiasi Ketua Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar di sini semalam, Juwairiya berkata kedudukan geografi turut melayakkan dua kampung terbabit diiktiraf sebagai MPKK baharu.

“Dua kampung ini terletak di seberang Sungai Selangor dan berpisah dengan Kampung Permatang, jadi tidak masuk akal dan tidak sesuai bagi pentadbiran MPKK lama memberi perhatian kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Dengan kewujudan MPKK baharu ini, mereka akan memiliki pengurusan dan peruntukan masing-masing selain tidak perlu berkongsi kemudahan awam yang berada jauh antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Juwairiya yang juga Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar berharap dua pengerusi MPKK baharu dilantik dapat menggalas tanggungjawab dengan amanah tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak.

“Mereka perlu beri keadilan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum dan sentiasa membawa agenda Kerajaan Negeri seperti inisiatif Iltizam Selangor,” katanya.


Pengarang :