Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri Istana Negara pada 30 Julai 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Institusi unik Raja Berperlembagaan

SHAH ALAM, 6 JUN: Institusi Yang di-Pertuan Agong sungguh unik. Hanya seorang Raja Melayu boleh mengisi kedudukan itu dalam tempoh lima tahun sebagai Ketua Negara bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan.

Seri Paduka Baginda dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.

Baginda berperanan sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Selain itu, Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan mengikut nasihat perdana menteri dan jemaah menteri.

Namun, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipecat daripada jawatan oleh jemaah menteri atau Parlimen. Kuasa ini terletak pada tangan Majlis Raja-Raja sebagaimana majlis ini berkuasa memilih Baginda menyandang jawatan tertinggi ini.

Perlembagaan memperuntukkan ketetapan memecat Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diluluskan melainkan sekurang-kurangnya lima ahli Majlis Raja-Raja mengundi menyokongnya.

Dalam tempoh 65 tahun sejak 1957, seramai 15 orang Raja ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong. Namun, lima daripada jumlah tersebut tidak menghabiskan penggal pemerintahan atas sebab kemangkatan atau meletakkan jawatan.

Sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menyenaraikan lima Raja Melayu yang tidak menghabiskan penggal pemerintahan sebagai Ketua Negara. NADIAH ZAMLUS pula menyusun maklumat mengenai Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah yang naik takhta sebanyak dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong.


Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
(31 Januari 2019 – sekarang)

Baginda diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang. Pada 1 Julai 1975, Baginda dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.

Dalam usia baru sahaja menjangkau 20 tahun, Baginda dilantik Pemangku Raja Pahang untuk tempoh lima tahun bermula pada 28 April 1979, selama tempoh ayahanda Baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah dipilih Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Baginda Tuanku bertemu jodoh dengan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, puteri ketiga kepada Sultan Johor Sultan Iskandar, pada 6 Mac 1986.

 

Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (31 Ogos 1957 – 1 April 1960)

Pada 1957, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama selepas Sultan Johor menolak perjawatan itu kerana lanjut usia, manakala Sultan Pahang pula tidak memperoleh mandat secukupnya untuk dilantik.

Berkelulusan undang-undang, Baginda ditabal pada 2 September 1957 di samping Raja Permaisuri Agong, Tunku Kurshiah ibni Tunku Besar Burhanuddin.

Tuanku Abdul Rahman mangkat pada 1 April 1960 dalam usia 65 tahun. Pemerintahannya berusia dua tahun empat bulan. Wajah Baginda dipilih untuk menghiasi mata wang kertas Malaysia sehingga kini.

 

 

Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah (14 April 1960 – 1 September 1960)

Baginda mengambil alih pemerintahan negeri Selangor daripada ayahanda Baginda, Sultan Alaiddin Sulaiman Shah yang mangkat pada 30 Mac 1938. Namun pemerintahan Sultan Hisamuddin yang ditabal pada 4 April tahun sama tidak kekal lama susulan Perang Dunia Kedua.

Baginda melepaskan takhta kepada Tengku Musauddin sebagai pemerintah Selangor yang memakai gelaran Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah. Bagaimanapun, Sultan Hisamuddin memerintah semula selepas British kembali ke Tanah Melayu.

Berikutan pengisytiharan kemerdekaan, Baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pertama dan naik takhta Yang di-Pertuan Agong kedua mulai 14 April 1960 apabila Tuanku Abdul Rahman mangkat.

Lima bulan kemudian, Baginda pula mangkat pada 1 September 1960 setelah gering selama 27 hari. Sultan Hisamuddin kembali ke rahmatullah ketika beradu beberapa jam sebelum istiadat pertabalan sebagai Ketua Negara.

 

Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim (21 September 1975 – 29 Mac 1979)

Pada 19 Jun 1975, Majlis Raja-Raja sepakat memilih Sultan Yahya Petra sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam bagi menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang memegang jawatan itu antara 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Bagaimanapun Sultan Kelantan itu mangkat ketika masih menyandang perjawatan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Mac 1979. Baginda yang mangkat ketika berusia 62 tahun memerintah Persekutuan selama tiga tahun enam bulan.

 

 

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah (26 April 1999 – 21 November 2001)

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang memerintah Selangor selama 41 tahun dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11 berdasarkan penggiliran pusingan ketua negeri untuk menjadi Ketua Negara.

Baginda adalah Sultan Selangor kedua dilantik selepas ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Sultan Salahuddin diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar, Kuala Langat dan dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada 1 Ogos 1946 dan kemudian sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950.

Baginda diangkat sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960 dan ditabal pada 28 Jun 1961. Sultan Salahuddin mangkat di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang pada jam 11.57 pagi pada 21 November 2001 sebagai Yang di-Pertuan Agong. Baginda memerintah negara ini selama dua tahun enam bulan.

 

Sultan Muhammad V (13 Disember 2016 – 6 Januari 2019)

Buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang Raja semasa menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan, sekali gus tidak melengkapkan penggal pemerintahan lima tahun.

Sultan Muhammad V yang naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong ke-15 mengumumkan peletakkan jawatannya berkuat kuasa pada 6 Januari 2019.

Keputusan Baginda dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan. Baginda mengetuai negara hanya selama dua tahun satu bulan dari 13 Disember 2016.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kemudian dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi menggantikan Sultan Muhammad V berkuat kuasa pada 31 Januari 2019.

 

Dua kali ditabal Agong

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah satu-satunya Raja Melayu yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Sultan Kedah ke-28, Baginda kali pertama dilantik pada 21 September 1970 sebagai Ketua Negara kelima dalam usia 43 tahun. Pemerintahan Baginda berlangsung sehingga 20 September 1975.

Baginda menggantikan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu yang tamat penggal pada 20 September 1970.

Tiga puluh enam tahun kemudian, Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Tempoh itu bermula antara 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016. Baginda memulakan pemerintahan kali kedua semasa umurnya 84 tahun.

Baginda dipilih Raja-raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 bagi menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Disember 2011.

Pemilihan dilakukan selaras dengan amalan penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu untuk mengetuai Persekutuan.

Baginda turut mencipta sejarah sebagai Raja Melayu tertua pernah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sebelum itu, rekod Raja tertua menyandang perjawatan Yang di-Pertuan Agong ialah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dilantik pada usia 73 tahun.

Tuanku Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927. Baginda mewarisi takhta pemerintahan negeri Kedah pada 14 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Ditabal sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959, Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah, Kedah dan meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.

Pada 1952, ketika Baginda masih bergelar Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim melanjutkan pengajian di Kolej Wadham, Oxford, London dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam.

Mementingkan bidang pendidikan selama pemerintahan, Baginda sering hadir ke majlis anugerah pendidikan di sekolah menengah dan rendah di sekitar Kedah. Almarhum juga sering mencemar duli melawat institut pendidikan guru dan politeknik di negeri jelapang padi.

Sultan Abdul Halim bertemu jodoh dengan anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultanah Bahiyah ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada Mac 1956 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Baginda berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Datuk Seri Diraja Tunku Sarina (yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos 1991 semasa berusia 31 tahun) dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Baginda bertemu jodoh kali kedua dengan Sultanah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 yang kemudiannya dianugerahkan gelaran Sultanah Kedah pada 9 Januari 2004 selepas kemangkatan Sultanah Bahiyah pada 2003.

Selain meminati pasukan bola sepak negeri Baginda sendiri, Tuanku turut menyukai tenis, golf, seni fotografi dan barang klasik.

Baginda menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 petang, 11 September 2017 di Istana Anak Bukit, Alor Setar setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

 

Sumber

  • Portal Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI
  • Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Perpustakaan Negara Malaysia, 1990
  • Sejarah Kesultanan Selangor, Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor, 14 Mei 2019
  • Sejarah Kesultanan Kelantan, Portal Rasmi Pejabat Sultan Negeri Kelantan, 31 Mei 2022
  • Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, 6 Januari 2019
  • Tuanku Abdul Halim Catat Sejarah Ditabal Yang di-Pertuan Agong Kali Kedua Esok, mStar/Bernama, 10 April 2012

 


Pengarang :