Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari (tengah) bersama Exco Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) Dr Mohammad Farhan Rusli di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 7 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Majlis penasihat awam kukuh agenda kesihatan negeri pascapandemik

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) bagi memperkasa struktur dan fungsi jawatankuasa tetap kesihatan awam.

Dato’ Menteri Besar berkata penubuhan majlis yang diluluskan 13 April lalu bertepatan usaha mengukuhkan agenda kesihatan awam selepas negara memasuki fasa endemik.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu juga selari hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia yang menekankan pembentukan Jawatankuasa Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri.

“Selphac membantu Kerajaan Negeri merancang, melaksana dan memantau program serta membincang dan mencadangkan penyelesaian isu semasa yang timbul berkaitan kesihatan awam,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Selphac dan Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Selangor di Dewan Jubli Perak di sini yang turut dihadiri EXCO Kesihatan Awam merangkap pengerusi Selphac Dr Siti Mariah Mahmud dan mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Amirudin yang juga penaung Selphac berkata ahli jawatankuasa majlis berperanan meningkatkan kesedaran dan tahap literasi berkaitan kesihatan awam melalui cadangan polisi dan program.

“Mereka juga akan mengenal pasti isu semasa berkait kesihatan awam dan mencadangkan langkah penyelesaian selain meluaskan fungsi ketua komuniti bagi membawa agenda komuniti sihat di negeri ini,” katanya lagi.

Selphac dianggotai 15 ahli terdiri daripada pemimpin negeri, agensi pelaksana utama, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pakar perubatan pelbagai bidang dan ahli akademik.

Turut menganggotainya ialah mantan ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19, wakil kesihatan sektor industri, wakil persatuan perubatan Malaysia dan wakil persatuan pakar kesihatan awam.

 


Pengarang :