SHAH ALAM, 10 JUN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menunda tarikh Kongres Nasional ke-16 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada akhir bulan ini kepada 15 hingga 17 Julai.
Setiausaha agungnya berkata penangguhan itu bagi memberi ruang kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN meneliti dapatan dan syor Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkaitan aduan pemilihan parti.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu mengambil kira tempoh JPP menyelesaikan beberapa perkara yang dibangkitkan selain memberi masa kepada kepimpinan cabang baharu untuk membuat pelantikan.
“Kongres Angkatan Muda KEADILAN Pusat serta Kongres Wanita KEADILAN Pusat pula akan diadakan serentak pada 15 Julai di IDCC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kongres berkenaan dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Jun.