Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis makan malam muhibbah Kuala Langat di Dewan Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jentera HARAPAN perlu mula gerak kerja, kekal kemenangan

KUALA LANGAT, 26 JUN: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu memulakan gerak kerja bagi memastikan kemenangan dicapai sejak 2008 terus kekal.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berkata gerak kerja mesti dimulakan biarpun pilihan raya umum belum ditentukan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, keadaan kini mencabar kerana musuh menunggu hendak merampas dan menjatuhkan bahkan, ada yang mahu berkawan semula tetapi jatuhkan kita.

“Kita kena tunggu dan berusaha untuk memastikan negeri ditadbir dengan baik. Bukan mudah untuk menguruskan negeri paling kaya, harapan besar.

“Tetapi dengan kesungguhan dan kecekalan pimpinan, wakil rakyat, EXCO dan pentadbiran kita dapat lalui dengan cekal yang menjadi Selangor negeri tahan uji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Malam Muhibbah Jelajah Harapan Selangor di Dewan Telok Panglima Garang di sini semalam.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan rakyat sehingga mempunyai program kesihatan sendiri iaitu Selangor Saring.

“Banyak negeri yang juga daripada Barisan Nasional (BN) datang ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN datang dan bertanyakan bagaimana kita buat sehingga benda mudah iaitu bekalan telur mampu dilaksanakan.

“Kita kerajaan yang membantu rakyat sehingga mempunyai 43 program. Kita betul-betul prihatin dan wujudkan negeri yang masyarakatnya penuh kasih sayang dan prihatin,” katanya.


Pengarang :